News

Sisipan Didik percuma - JPB bantu proses pembelajaran murid tujuh sekolah sekitar Pasir Gudang.
30 July 2012

Pasir Gudang: Tujuh sekolah kebangsaan sekitar perbandaran ini dipilih menerima akhbar sisipan Didik terbitan BH, selama tujuh minggu disumbangkan Johor Port Berhad (JPB)

Sumbangan itu membabitkan murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Senibong, Perigi Acheh, Kongkong Laut, Tanjung Puteri Resort, Taman Pasir Putih, Tanjung Langsat dan Pasir Putih.

Program dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah dan BH Johor itu bagi membantu proses pembelajaran murid Tahun Enam di sekolah dikategorikan sekolah kurang murid (SKM) itu menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Ketua Pegawai Eksekutif JPB, Shahrull Allam Shah Abdul Halim, berharap sisipan Didik BH itu dimanfaat sepenuhnya murid dan tenaga pengajar sebagai rujukan tambahan.

"Naskah Didik BH ini dipilih kerana kami yakin kandungannya mampu memberi banyak manfaat kepada murid Tahun Enam sekolah dan dengan adanya bahan pembelajaran dan rujukan tambahan itu, kita berharap dapat membantu guru meningkatkan lagi prestasi murid.

Julung kali diadakan

"Program yang julung kali diadakan ini dirancang dijalankan lagi pada pada masa akan datang dengan membabitkan lebih banyak sekolah dan murid," katanya pada majlis penyerahan akhbar BH di PPD Pasir Gudang, di sini.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Gudang, Fatimah Murad dan Pengurus Besar Kanan Bahagian Perkhidmatan Korporat JPB, Md Derick Basir.

Shahrull Allam Shah berkata, selain sumbangan akhbar sisipan Didik BH itu, pihaknya merangka pelbagai program berbentuk pendidikan dan kemasyarakatan untuk komuniti kawasan itu, termasuk kem pendidikan dan program kembali ke sekolah.

Sementara itu, Fatimah berterima kasih dengan sumbangan JPB yang membantu pihaknya dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan murid kawasan berkenaan dan berharap usaha itu dijalankan secara berterusan.

Katanya, sumbangan itu dapat merealisasikan JPB sebagai organisasi korporat yang bertanggungjawab dan prihatin dan wajar dicontohi oleh pihak lain.