News

Bubur lambuk pertama anjuran Pelabuhan Johor dapat sambutan hangat
16 August 2012

16 Ogos 2012 - Buat julung kalinya, Pelabuhan Johor mengambil inisiatif menyemarakkan Ramadhan kali ini bersama ribuan penduduk daripada lima kampung berhampiran di sekitar Pasir Gudang.

Usaha murni yang digarap hasil usaha sama bersama jawatankuasa masjid dan surau di lima lokasi terbabit adalah bagi menghargai sokongan yang diberi penduduk kampung sepanjang pengoperasian Pelabuhan Johor sejak 37 tahun lalu.

Kos yang menelan belanja lebih RM22,000 itu merupakan sebahagian daripada peruntukkan yang disediakan Pelabuhan Johor bagi pembangunan sosio ekonomi dan kepentingan komuniti setempatnya.

Peruntukkan yang difokuskan khusus bagi mengukuhkan hubungan sosial sedia ada dan membina hubungan baru bersama masyarakat Pasir Gudang ini turut memberi tumpuan kepada usaha-usaha menaiktaraf mutu pendidikan anak-anak sekolah di sekitar kawasan pembangunan pelabuhan.

Pengagihan lebih 2500 bungkusan bubur lambuk di lima lokasi berasingan kali ini merupakan salah satu daripada usaha Pelabuhan Johor dalam mendukung tanggungjawab sosialnya. Program ini bermula pada 2 Ogos lalu di Kampung Perigi Acheh diikuti Kampung Pasir Gudang Baru, Kampung Tg Langsat, Kampung Pasir Putih dan berakhir di Taman Megah Ria baru-baru ini.

Proses penyediaan dan memasak juadah lazim Ramadhan ini menjadi lebih meriah dengan kehadiran lebih 30 pegawai dan kakitangan bertugas Pelabuhan Johor yang turun padang membantu tenaga kerja dan penduduk kampung seawal 11 pagi.


jpb-pic-160812-1.jpg

Beberapa orang kampung dan kakitangan JPB sedang sibuk menyiapkan persiapan

Apa yang lebih mengejutkan, hasil gotong royong bersama penduduk di salah sebuah kampung yang terlibat, Kampung Pasir Putih, satu resipi bubur lambuk istimewa yang menggabungkan resipi campuran Jawa, Bugis, Banjar dan Melanau berjaya disediakan, menjadikan majlis agihan pada Ramadhan kali ini tambah istimewa dan bermakna.

Rata-rata wargakerja pelabuhan yang membantu menunjukkan rasa puas dan gembira tanpa menghiraukan rasa penat menyiapkan persiapan apabila melihat keceriaan yang terpancar di wajah penduduk kampung tatkala menerima juadah bubur lambuk yang diberikan.

jpb-pic-160812-2.jpg

Ratusan bubur lambuk sedia diagih

Turut hadir, Imam Besar, pihak pengurusan masjid dan para ketua kampung di lima lokasi terbabit tidak putus-putus mengucapkan syukur dan terima kasih mereka kepada Pelabuhan Johor.


jpb-pic-160812-3.jpg

Wajah-wajah gembira penduduk kampung

Senyuman yang terukir jelas menunjukkan tajaan yang sekecil ini telah memberi makna yang besar kepada mereka.

Program pengagihan bubur lambuk yang dianjurkan ini dilihat berlangsung dengan cemerlang dan menggembirakan para penduduk.

Justeru itu, pihak pengurusan pelabuhan akan berusaha untuk merencanakan sesi kesinambungan daripada program ini pada tahun-tahun yang akan datang.

Beberapa program yang menjurus kepada pembangunan komuniti dan pendidikan juga sedang dirangka untuk masyarakat tempatan di sini agar kemajuan dan pembangunan penduduk akan bergerak seiring dengan transformasi operasi Pelabuhan Johor yang sedang rancak dijalankan.