News

Kren STS Baharu Bakal Tingkat Kapasiti Johor Port
11 November 2020 - Kosmo
Picture1.jpg
 
KUALA LUMPUR – Johor Port Bhd. (Johor Port) telah menerima kren pangkalan kapal ke kapal (STS) baharu untuk terus menambah baik perkhidmatan dan kecekapannya di Terminal Kontena.

Kren pangkalan STS yang dibina oleh Shanghai Zhenhua Heavy Industries Company Ltd. itu memiliki kapasiti pengangkat seberat 40.6 tan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Derick Basir berkata, kren itu juga berupaya mengendalikan kontena melebihi 15 barisan sehingga kapal bersaiz Post-Panamax.

“Pembelian kren baharu itu merupakan pelaburan jangka panjang bagi memastikan daya saing Johor Port adalah sejajar dengan perubahan pesat industri pelabuhan dan logistik untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin menggalakkan,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Md. Derick menerangkan, kren tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya pada Disember 2020.

Tambah beliau, pembelian kren merupakan sebahagian daripada program mengubah suai dan menaik taraf infrastruktur yang merangkumi penambahbaikan dan pengembangan limbungan kontena kepada 36 blok daripada 32 blok pada masa ini.

Jelasnya, kren pangkalan baharu itu merupakan penambahan kepada lapan kren pangkalan sedia ada yang beroperasi di Johor Port.

“Menerusi penambahan kren itu, kita akan mampu meningkatkan lagi produktiviti operasi dengan memberikan masa perjalanan kapal yang lebih pantas di Terminal Kontena Johor Port,” katanya.