News

Pelabuhan Johor agih bubur

18 August 2012
Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU 17 Ogos – Lebih 2,500 bungkusan bubur lambuk diedarkan secara percuma di lima lokasi berasingan termasuklah Kampung Perigi Acheh, Kampung Pasir Gudang Baru, Kampung Tanjung Langsat, Taman Megah Ria dan Kampung Pasir Putih dalam program bubur lambuk anjuran Pelabuhan Johor.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrull Allam Shah berkata, pengagihan bubur lambuk yang julung kali diadakan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Pelabuhan Johor dalam merapatkan silaturahim bersama komuniti setempat dan berhasrat meneruskan usaha murni itu pada masa hadapan.

"Program sebegini sememangnya amat bermakna kepada kami kerana ia memberi peluang kepada Pelabuhan Johor mendekati masyarakat setempat di kawasan ini. Kami turut bekerjasama dengan jawatankuasa surau dan masjid di lima kampung tersebut dalam menjayakan pengagihan bubur lambuk ini kepada penduduk," katanya.