CADANGAN penyenaraian tiga anak syarikat MMC Corporation di Pasaran Utama Bursa Malaysia, iaitu Gas Malaysia Sdn Bhd, Malakoff Bhd serta Johor Port Bhd, dijangka berpotensi menjana modal sehingga RM2.6 bilion bagi kumpulan berkenaan.
Meskipun laporan terperinci berhubung penyenaraiannya masih belum dimuktamadkan, penganalisis melihat jumlah dana itu mampu diraih konglomerat itu bersandarkan kepada unjuran peratusan pengurangan kepentingan ekuiti bakal dibuat kumpulan itu dalam ketiga-tiga unit berkenaan.
Ketua Penyelidik OSK Research, Chris Eng, berkata MMC yang kini memegang kepentingan 41.8 peratus dalam Gas Malaysia, 51 peratus (Malakoff), dan 100 peratus (Johor Port), dijangka mengurangkan peratusan pegangan ekuitinya sekitar 11 hingga 30 peratus.
"Bersandarkan andaian MMC akan mengurangkan kepentingannya dalam Gas Malaysia kepada 30 peratus daripada 41.8 peratus ketika ini; Malakoff kepada 30 peratus daripada 51 peratus dan Johor Port kepada 70 peratus daripada 100 peratus, kumpulan itu mampu mengumpul dana tunai berjumlah RM2.6 bilion," katanya.
Gas Malaysia satu daripada dua pengedar gas tunggal dalam negara, Malakoff pula pengeluar tenaga bebas terbesar negara, sementara Johor Port pengendali pelabuhan minyak sawit terbesar dunia.
Berdasarkan anggaran, nilai modal pasaran semasa Gas Malaysia ialah RM5 bilion, Malakoff (RM7 bilion), Johor Port (RM1.5 bilion). Mengenai tempoh masa penyenaraian ketiga-tiga unit itu, Eng berkata, Gas Malaysia akan menjadi unit pertama disenaraikan menjelang akhir tahun ini, diikuti Malakoff pada akhir 2013.
"Bagaimanapun, perniagaan pelabuhan MMC, kami menjangka dua pelabuhan di bawah MMC, iaitu Johor Port dan Port of Tanjung Pelepas (PTP) akan disatukan sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya.
PTP, pengendali pelabuhan kontena, kini menduduki tempat ke-17 dari segi pelabuhan kontena paling sibuk di dunia pada 2010. Eng berkata, bersandarkan perkembangan semasa membabitkan tiga syarikat itu, saham MMC dilihat sebagai pilihan belian terbaik dengan unjuran peningkatan harga sesahamnya kepada RM4.38 daripada RM3.62.
"Namun, tanpa maklumat penyenaraian konkrit seperti kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) kami mengekalkan penilaian masa depan MMC pada RM3.62 sesaham dan saranan dikekalkan pada 'Beli'," katanya.
Saranan 'Beli' merujuk kepada unjuran harga saham sesebuah syarikat yang berpotensi meningkat lebih 15 peratus dalam tempoh tiga bulan akan datang.