News

Johor Port muncul antara pelabuhan terbesar dunia

2 October 2012
Utusan Sarawak

JOHOR BAHARU, Isnin - Johor Port, di bawah pelan pembangunan dan pemodenan lima tahunnya, merancang untuk muncul sebagai salah satu pelabuhan Bursa Logam London (LME) yang terbesar di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrull Allam Shah Abdul Halim berkata, untuk muncul sebagai salah satu daripada tiga pelabuhan utama LME di dunia, Johor Port perlu meningkatkan kapasiti pengendalian kargo LME-nya kepada 1.0 juta tan metrik setahun.

Pada ketika ini, katanya, Johor Port mengendalikan kira-kira 430,000 metrik tan kargo LME iaitu logam bukan besi setahun meletakkannya di tangga ketujuh di seluruh dunia.

"Ketika ini, Johor Port berada pada kedudukan ke-tujuh di dunia di segi jumlah pengendalian dengan pengendalian 430,000 tan metrik setahun, tetapi di bawah pelan pemodenan lima tahun, kita merancang untuk meningkatkan kapasiti kepada 1.0 juta tan metrik."

"Johor Port menyasarkan meningkatkan lagi kendalian kargo LME. Kos adalah kelebihan utama kami," katanya kepada Bernama di dalam temubual eksklusif di pejabatnya di Pasir Gudang di sini baru-baru ini.

Pada ketika ini, katanya pelabuhan LME yang mempunyai kapasiti pengendalian kargo 1.0 juta tan metrik adalah di Rotterdam, Belanda dan Houston di Amerika Syarikat.

Johor Port, sebuah pelabuhan pelbagai guna yang terletak di Pasir Gudang merupakan antara 35 pelabuhan di seluruh dunia yang diiktiraf untuk mengendalikan kargo LME.

LME yang ditubuhkan pada 1877 dan berpusat di bandaraya London, merupakan pasaran utama bagi logam bukan besi di dunia.

 


PELBAGAI ... Kerja-kerja memunggah pelbagai jenis jongkong yang dikendalikan oleh pekerja-pekerja Pelabuhan Johor Port, Pasir Gudang di Johor Baharu. Johor Port merupakan salah satu daripada 35 pelabuhan diseluruh dunia yang diiktiraf untuk mengendalikan kargo London Metal Exchange (LME). * Bernama


Di bawah pelan pembangunan dan permodenannya selama lima tahun mulai tahun ini sehingga 2016, Johor Port akan memperuntukkan antara RM400 juta hingga RM500 juta di dalam pelaburan modalnya (CAPEX).

Menurut Shahrull Allam Shah, terdapat pemintaan yang tinggi di kalangan pelanggan Johor Port bagi penambahan kapasiti pengendalian kargo LME di pelabuhan serbaguna itu.

"Wujud permintaan bagi meningkatkan kapasiti. Ramai pelanggan yang meminta. Persoalannya sekarang ini berapa cepat kita dapat wujudkan ruang bagi mereka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menganggarkan tempoh antara lapan hingga 12 bulan untuk melaksanakan kerja-kerja mempertingkat kapasiti pengendalian kargo LME di Johor Port itu. Katanya salah satu usaha bagi meningkatkan kapasiti pengendalian kargo LME di Johor Port melibatkan pelan pengoptimuman ruang dalam kawasan pelabuhan seperti penggabungan gudang sedia ada di pelabuhan dan perluasan kawasan operasi sedia ada ke suatu kawasan bersesuaian.

Johor Port, katanya juga akan membina gudang bertingkat yang boleh digunakan oleh pelbagai operator logistik untuk pengendalian kargo LME di tingkat bawah dan kargo bukan LME di tingkat atas.

Di bawah pelan pemodenan dan pembangunannya lima tahunnya itu, Johor Port juga merancang untuk meningkatkan kapasiti pengendalian kargo pukal dan cecairnya, bagi memastikannya terus kekal sebagai pintu masuk utama ke selatan Johor dan Pasir Gudang. - Bernama