News

Johor Port Sumbang RM3j Kepada Tabung Endowmen UTM
04 September 2019 - Berita Harian
img-utm1.jpg

WAHID bertukar dokumen MoA dengan Che Khalib sambil disaksikan Abdul Halim (tengah), Shamsul dan Shahrull Allam (kanan) dan Pengarah Unit Endowmen,
Prof Dr Yusof Boon (dua dari kiri)
 
KUALA LUMPUR: Johor Port Berhad menyalur dana sumbangan berjumlah RM3 juta kepada Tabung Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan di UTM Kampus Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

UTM diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar dan Pro-Naib Canselor UTM Kampus Kuala Lumpur, Prof Dr Shamsul Sahibuddin, manakala Johor Port diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrull Allam Shah Abdul Halim.

Upacara menandatangani MoA itu turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pemegang Amanah Endowmen UTM, Tan Sri Abd Halim Ali.

Wahid dalam ucapannya berkata, pihaknya amat menghargai komitmen berterusan Johor Port dalam membantu UTM terutama bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.

“Sejak diwujudkan hingga pertengahan tahun ini, Tabung Endowmen UTM telah mengeluarkan dana lebih RM20 juta untuk membantu pelajar iaitu sebanyak 680 pelajar menerima Biasiswa Endowmen, 200 pelajar menerima bantuan kewangan dan lebih 300 pelajar menerima bantuan makanan percuma.

“Sebanyak 328 pelajar penerima Biasiswa Endowmen telah bergraduat dan sebahagian besar daripada mereka telah berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Che Khalib berkata, kewujudan endowmen universiti memainkan peranan penting untuk membantu perkembangan kepemimpinan akademik dan memperkasakan pembangunan bakat bagi institusi pengajian tinggi di negara ini.

“Sumbangan ini sebagai satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami untuk membantu anak-anak bangsa menimba ilmu, malah saya yakin mereka berpotensi menjadi lebih cemerlang jika kita memberi dorongan serta suntikan semangat untuk mereka berjaya.

“Tabung Endowmen adalah satu usaha murni Johor Port Berhad untuk berganding bahu bersama-sama IPT bagi melonjakkan pembangunan pendidikan di Malaysia khususnya UTM, bahkan tanggungjawab terhadap khidmat dan kerja kebajikan tidak lagi boleh dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan semata-mata,” katanya.

Untuk rekod, Johor Port telah menyumbang dana sebanyak RM5 juta kepada Tabung Endowmen UTM pada 2013.